Jul 5, 2004

Oleh Prof Dr Sidek Baba...baik utk renungan

Ufuk Minda: Rahmat, nikmat suatu amanah menguji manusia

ALLAH menerusi al-Quran menyatakan dengan jelas peranan manusia apabila diciptakan. “Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.” (Wama khalak tul jins ni walins I'llah liyaqbuduun).

Ayat ini menjadi asas bagi kita memahami peranan manusia apabila dihantar ke dunia ini. Makna ibadah di sini amat luas, seluas limpahan rahmah dan nikmah Allah itu juga.

Setiap insan yang dilahirkan Islam dengan sendirinya mendukung amanah sebagai ahli ibadah atau abid. Sebagai ibadullah, setiap warga Muslim, mukmin dan muhsin mempunyai tanggungjawab melakukan ibadah kepada Penciptanya dalam kadar atau maqam masing-masing.

Lebih tinggi ibadah yang dilakukan lebih hebat pula hubungan abid dengan Allah. Pemahaman ibadah bukan hanya dalam batas rohaniah saja, malah manifestasi keunggulan rohaniah terbabit dalam setiap aspek kehidupan itu sendiri.

Apatah lagi apabila dihubungkan konsep ‘beribadah kerana Allah, berhikmah untuk manusia’ memberi makna yang amat unik dan murni bagi faedah manusia.

Wujud fahaman bahawa maksud kerana Allah itu hanya semata-mata ibadah itu kita lakukan kerana diperintahkan oleh Allah saja. Umpamanya, kita lakukan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya disebabkan perintah Allah untuk manusia.

Oleh itu, pola ibadah yang berlaku hanya dalam lingkungan abid dengan khaliq tanpa dikaitkan abid sesama abid. Apatah lagi, abid dengan sistem yang hadir.

Isu utama di sini ialah apakah maksud perintah Allah mengenai ibadah dan kaitannya dengan kehidupan manusia itu sendiri? Allah adalah Tuhan yang Maha Sempurna dan Perkasa atas segalanya.

Allah tidak memerlukan bantuan dan pertolongan manusia. Yang memerlukan pertolongan dan bantuan dari Allah ialah manusia itu sendiri. Hal ini kerana sifat kejadian manusia sedemikian rupa amat memerlukan pertolongan dan bantuan Allah. Tanpa rahmah dan nikmat Allah yang melimpah ruah di muka bumi ini yang datangnya daripada Allah, tidak mungkin manusia mampu menciptanya sendiri.

Air umpamanya, yang dijadikan bahan minuman, mencuci kotoran dan menghidupkan ikan, sayuran, pokok dan binatang adalah menjadi sumber rahmah dan nikmah yang penting bagi manusia. Bayangkan manusia hidup tanpa air atau kalau ada pun air, fitrah jadinya tidak dengan maksud yang disebutkan tadi. Manusia dan kehidupan lain akan pupus atau tidak wujud langsung. Tetapi, manusia tidak mempunyai keupayaan mencipta air. Yang mempunyai kemampuan ialah Allah.

Dalam konteks ibadah bagaimana sumber yang Allah ciptakan itu dapat diurus dengan baik. Ini supaya manusia dan haiwan dapat hidup sejahtera dan kewujudan air itu terkait dengan ibadah manusia kepada Allah.

Sebagai abid, menjadi kewajipannya untuk rukuk dan sujud kepada Allah. Ini supaya resam taat dan patuh sentiasa teguh di hatinya untuk dihayati dalam kehidupan.

Sebagai hamba dan khalifah, abid mempunyai tanggungjawab atau amanah untuk menterjemahkan dan melaksanakan perintah, peringatan dan pedoman Allah supaya kehidupan manusia sentiasa berjalan mengikut reda dan syariatnya.

Oleh itu, apabila abid melakukan tanggungjawab ibadah setulus hati dan jiwa kerana Allah, maka perlakuan ibadah itu adalah ikhlas untuk meningkatkan kualiti tunduk dan taat terhadap tanggungjawab ibadah dalam erti kata yang luas.

Pada pemahaman kita yang logik, apakah Allah memerlukan ibadah daripada manusia semata-mata untuk menjadikan Allah lebih berkuasa dan lebih perkasa.

Tanpa kita mengamalkan titah perintah-Nya, adakah Allah menjadi lemah atau tidak perkasa? Atau apabila kita melakukan ibadah terhadap-Nya, Allah menjadi kuat dan hebat? Kalau begitulah fikiran kita bermakna Allah seolah-olah bergantung kepada manusia, sedangkan kedudukan sebenarnya ialah manusia yang bergantung dan berpaut kepada Allah.

Yang memerlukan udara dan nyawa ialah manusia. Yang memerlukan akal dan hati ialah manusia. Yang memerlukan rezeki dan daya ialah manusia. Yang memerlukan kebahagiaan dan kesejahteraan ialah manusia. Yang memerlukan kesihatan badan ialah manusia. Yang memerlukan pasangan dan anak-anak ialah manusia. Yang memerlukan kehidupan dan tamadun ialah manusia.

Di manakah semua itu boleh diperoleh kalau tidak daripada Allah. Manusia tidak memiliki keupayaan itu melainkan daripada Allah.

Allah kurniakannya kepada manusia kerana ihsannya. Dan semua yang diberikan tidak akan kekal. Tetapi yang bakal kekal ialah bagaimana dan apakah tujuan kita menguruskan rahmah dan nikmah Allah yang banyak itu.

Sebagai abid atau ahli ibadah, tentunya pengurusan dilakukan supaya memenuhi reda-Nya. Sekiranya rahmah dan nikmah Allah yang melimpah di muka ini tidak kita uruskan dengan amanah dan adil, bermakna kita tidak melakukan ibadah pengurusan mengikut syariat dan pedoman Allah.

Oleh itu, apabila dihubungkan ‘beribadah kerana Allah, berhikmah untuk manusia’ bermaksud, apabila wujud keikhlasan, kita melakukan ibadah dengan Allah. Ia sebenarnya memberi hikmah atau faedah kepada manusia sendiri.

Bayangkan seorang ahli ibadah yang sentiasa merasakan kekerdilan dirinya apabila rukuk dan sujud, dia tidak akan kufur dan takbur apabila menguruskan nikmah dan rahmah Allah.

Sebagai ahli ibadah, dia amat insaf bahawa rahmah dan nikmat itu adalah suatu amanah bagi menguji manusia sama ada dapat melakukan amanah itu atau sebaliknya. Begitu juga sama ada dapat melakukan keadilan atau sebaliknya.

Sekiranya ahli abid adalah seorang yang beriman dan bertakwa dan seorang bapa atau ibu, watak kebapaan dan keibuaan yang sentiasa tunduk dan patuh dengan perintah dan pedoman Allah akan memberi kesan baik terhadap pendidikan anak-anaknya.

No comments: